Thursday, 9 August 2018

KOS PENYELENGGARAAN KIA RIO SELEPAS USIANYA MENCAPAI 13 TAHUN (AKHIRNYA AMBIL KEPUTUSAN UNTUK DIJUAL)

KIA Rio 1.4 (Model 2005)

Hatchback

Akhirnya kami sekeluarga tidak lagi mampu menanggung sara hidup Emchek Kia Rio. Kos makan minum dan rawatan susulan beliau makin lama makin tinggi. Bersama kami sejak tahun 2006, memang banyak jasa beliau kepada kami. Spec beliau yang bertaraf CBU (direct dari negara Winter Sonata) memang sedap dipandu. Handling memang sedap dengan body yang sedikit berat. Uniknya, siap ada heater walau tak berguna dengan climate negara kita.

Menjelang usianya 13 tahun bersama kami, Emchek Kia Rio makin tenat. Beliau diserang sakit kronik pada starter, memaksa kami menukar starter beliau sebanyak dua kali. Kemudian datang pula penyakit pada alternator, pun dua kali kami terpaksa tukar sepanjang usianya di antara 10-13 tahun. Penghawa dingin beliau juga turut kronik, sehingga doktor kereta menggeleng kepala tidak tahu macam mana lagi nak rawat beliau.

Rosak starter kali pertama (2014) = RM400++ (baru, local)

Rosak starter kali kedua (2017) = RM500++ (baru, local)

Rosak alternator kali pertama (2017) = RM700++ (reconds, kena kelentong dengan bengkel)

Rosak alternator kali kedua (2018) = RM200++ (reconds)

Rosak penghawa dingin beberapa kali = RM2000++

Itu belum lagi masalah minyak hitam bocor yang tiada kesudahan, shock absorber yang telah tiba masa untuk berganti baru dan juga stering rack system yang makin hari makin galak mengeluarkan bunyi-bunyian.

Meng 'kronik' kan keadaan, kami tinggal di luar Lembah Klang. Organ-organ dalaman Emchek Kia Rio memang sukar untuk didapati. Terpaksa order pakai courier, order pagi petang baru sampai. Esok pula baru doktor kereta pasang. Bila Emchek Kia Rio kena bermalam dalam wad, maka patahlah kaki kami untuk bergerak ke tempat kerja. 

Beribu ringgit kami berhabis demi memulihkan kesihatan Emchek Kia Rio. Akhirnya kami redha, beliau bukan lagi Kia Rio yang dulu. Jodohnya bersama kami sampai setakat ini saja. Maka ke Teluk Intan kami hantar dia kepada pemilik baru (used car) dengan hantaran RM3000 sahaja. Sedih tak terkira, bukan sedih dengan perpisahan tapi mengenangkan wang hantaran yang diterima begitu ciput sekali !

Bye-bye Emchek Kia Rio. Banyak jasamu, akan kami kenang. Berbahagialah kamu dengan tuan barumu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment