Showing posts with label Taiping. Show all posts
Showing posts with label Taiping. Show all posts

Monday, 9 December 2013

Kembara Mee Udang Kuala Sepetang (29 Nov - 1 Dis 2013)

As-Salam dan Salam Sejahtera buat semua readers DSKB...


Entry ini kiranya kesinambungan dari entry berkaitan perjalanan ambo dan HM ke Taiping untuk sesi bekerja sambil bercuti tempoh hari... atau sebaliknya.... hehehe...

Orang kata... bukan ambo yang kata... tak lengkap perjalanan kita ke Taiping kalau belum sempat pekena mee udang Kuala Sepetang... lebih-lebih lagi mee udang Mak Jah yang katanya tersohor ke seluruh pelusuk tanah air.

Orang kata lagi... orang katalah bukan ambo yang kata... dia punya mee udang banjir penuh dengan udang. Pendek kata dalam mangkuk nampak udang semata. Nak tengok mee kena alihkan udang satu persatu baru nampak mee..... fuhhhhhh!!! Nampak tak dia punya banjir dengan udang? Udangnya pulak besor-besor, gebu-gebu, montok-montok dan fresh dari muara...

Demi mengesahkan dakwaan semua... juga sebagai tanda sahih kami sudah menapakkan kaki kami ke bumi Taiping... maka aktiviti pemburuan mee udang dilancarkan pada hari pertama lagi kami di Taiping dan berterusan sehingga hari terakhir.

Tapi bak kata pujangga... kita hanya mampu merancang tapi Allah juga yang menentukan. Begitulah kami, walau bersungguh mana pun mengejar mee udang Mak Jah terutamanya, akhirnya bukan rezeki kami. Jangankan mee udang Mak Jah, misai udang Mak Jah pun tak ada peluang untuk kami rasa.

Sesi memburu kali pertama gagal kerana kami (perkataan kami merujuk kepada rakan-rakan, sebab ambo dan HM tengah sibuk berselimut di hotel pada waktu tersebut, kami kirim minta tapau saja) tiba di perkarangan gerai Mak Jah selepas jam 8. Kebetulan waktu tersebut adalah musim cuti sekolah, belum pukul 8 semua stok mee udang Mak Jah sold out. Begitu juga dengan mee udang Mak Teh dan beberapa buah gerai mee udang yang lain.

Kachewa yang amat sangat tapi masih kontrol sebab ada dua hari lagi kami di Taiping. Masuk hari kedua masing-masing busy dengan kerja, jadi tak sempat untuk bertandang ke Kuala Sepetang. Tapi dengan semangat waja, pagi hari terakhir kami sekali lagi ke Kuala Sepetang, maklumlah lokasi site visit pun tak jauh dari gerai Mee Udang Mak Jah. Sekali lagi kami kachewa kerana khabarnya Mak Jah masih belum membuka pintu untuk jualan, tidak pasti pukul berapa tapi kalau mengikut blog berkaitan jam 11 pagi dah mula niaga dah.

Bila tengok gerai-gerai lain di sekitar Kg Menteri pun masih tutup walau menjelang tengah hari. Nak tunggu sampai petang kami dah kena bergegas balik KL.... macam mana tu?  

Memang kachewa sungguh.....

Untuk makluman gerai Mee Udang Mak Jah letaknya di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, Taiping. La ni dah siap ada cawangan di Wangsa Walk, Wangsa Maju KL. Waktu niaga Isnin sampai Ahad, jam 11 pagi sampai 11 malam.

Mujur kekachewaan kami terubat dengan Mee Udang Batu 6 Simpang/Changkat Jering. Walau tak dapat merasa mee udang Kuala Sepetang, terubat jugalah bila dapat manja-manja dengan misai udang Batu 6 Simpang/Changkat Jering.

Kami siap tapau lagi mee udang special... satu sepuluh ringgit. Nak kata sedap sangat tu tak adalah, tapi memang sedap. Baru ambo tahu mee udang ada rasa-rasa mee bandung ye?

Udangnya fresh tapi tak adalah sampai ke tahap kena belek udang baru nampak mee. Rasanya banyak mee berbanding udang.... huhuhu...

Nampak tak... banyak mee berbanding udang kan?

Bukan setakat mee udang saja, segala masakan lauk pauk melayu ada. Kami makan nasi campur dan tapau mee udang special balik rumah.

Nasi ayam pun ada, air sirap FOC. Memang sedap lauk pauk di sini.

Mee udang Batu 6 pun jadilah buat pengubat selera. Next time kalau ke Taiping sekali lagi, memang ambo akan make sure dapat melepak di gerai Mee Udang Mak Jah... Inshaa Allah.

Sunday, 8 December 2013

Catatan Perjalanan Ke Taiping | 29 Nov - 1 Dis 2013 | Bhgn III

As-Salam dan Salam Sejahtera readers DSKB yang dihormati,

Bertemu lagi kita di bahagian terakhir catatan perjalanan ambo dan HM ke bumi Taiping. Catatan ini berkisar kepada aktiviti kami pada hari ketiga... lawatan ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang, Kota Ngah Ibrahim @ Muzium Matang dan makan-makan di Mee Udang Batu 6 Simpang/Changkat Jering.

Mari kita sama-sama rewind kenangan kami pada hari ketiga...

Ahad (1 Disember 2013)

Mengikut perancangan rakan-rakan sekerja dan anak buah, kami perlu berkumpul di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut pada pukul 8 pagi. Jadi selepas Subuh, masih ada banyak masa untuk mencari sarapan sekitar Pekan Taiping.

Bilik yang kami tempah di Hotel Vistana Micassa melalui Agoda tidak menyediakan voucher sarapan pagi, jadi selepas check-out cadangnya kami cuma cari  mana-mana restoran berdekatan untuk bersarapan.

Nampak papan tanda Full House? Memang semua bilik di Hotel Vistana Micassa fully booked. Masa kami buat panggilan telefon untuk booking bilik pun petugas kata bilik penuh. Nasib baik bila belek Agoda masih ada yang kosong. Brader dalam foto di atas satu-satunya petugas yang ada seawal pagi, dialah yang uruskan kaunter dan dia jugalah yang periksa bilik untuk pengesahan urusan check-out.

Urusan check-out memang pantas kerana kami satu-satunya pelanggan yang berurusan pada pagi tersebut. Petugas pun cuma seorang di kaunter. Lepas kami serahkan kunci untuk check-out, kami kena tunggu petugas yang sama yang akan naik ke bilik untuk inspection.... takut kami bawa balik tuala hotel agaknya.... hehehehe.

Masa berurusan tersebut ambo cuba minta resit hotel tapi tak dapat. Memang menjadi kelaziman agaknya pihak hotel tidak akan mengeluarkan resit bayaran penginapan jika membuat tempahan melalui Agoda.

Kali pertama dulu semasa menginap di Kuching, hotel tersebut juga enggan mengeluarkan resit bayaran penginapan kerana katanya bayaran dibuat melalui Agoda, perantara kepada pelanggan dengan pihak hotel. Masalah juga kalau staf finance kompeni tak mahu terima voucher Agoda sebagai bukti bayaran penginapan.

Tak apalah, balik nanti cuba tanya staf finance macam mana nak claim kalau guna voucher Agoda...

Update terkini (10/12/13)... tak ada masalah sebenarnya kalau guna Agoda. Boleh minta Agoda hantar resit pengesahan bayaran hotel melalui email. 

Caranya;
a) Masuk ke laman web Agoda
b) Pergi ke ruangan Agoda self-service atau manage my bookings
c) Click pada bahagian Get my receipt
d) Isi butiran yang diperlukan seperti nama, email dan alamat.
e) Tidak sampai seminit kemudiannya, anda akan menerima resit bukti pembayaran melalui email daripada Agoda.

Mudah kan? 

Back to the story, selepas check out kami ke Restoran Arahman untuk bersarapan. Restoran ini cuma diseberang jalan dengan Hotel Vistana Micassa dan bersebelahan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama.

Suasana klasik restoran mamak di sebuah pekan kecil seperti Taiping. Atas meja mesti ada sebekas telur rebus. Jarang sekali masa kini kita nampak telur rebus diletakkan di atas meja makan kalau kita masuk di mana-mana restoran mamak di kota besar kan?

Bersarapan ala kadar dengan segelas teh tarik, roti telur dan maggie goreng, kami kemudiannya bergerak ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang.

Lokasinya kira-kira 10 km dari bandar Taiping dan terletak dalam Hutan Simpan Jebong. Hutan Paya Larut Matang mempunyai keluasan kira-kira 101,877 hektar termasuklah 198 hutan simpanan kekal yang menempatkan pelbagai spesis flora dan fauna dari ekosistem persisiran pantai dan kawasan hutan paya laut.

Antara tarikan utama Hutan Paya Larut Matang adalah kawasan proto sejarah di Pulau Kelumpang, hutan simpanan dara dan Pusat Eko Pelajaran yang akan kami kunjungi pada hari ini. Hutan Paya Larut Matang dibuka kepada umum untuk aktiviti seperti memancing, berkhemah malahan penyelidikkan hutan paya bakau.

Masuk adalah percuma dan dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang. Tiada khidmat jurupandu tapi pengunjung boleh menikmati keindahan Hutan Paya Larut Matang dengan berjalan melalui titian kayu sejauh kira-kira 1 km.... Inshaa Allah selamat.

Kepada yang berminat, boleh juga menginap di sini kerana kemudahan chalet turut disediakan untuk kemudahan pengunjung. Manakala kemudahan jeti bot membolehkan pengunjung menyusuri muara dan melawat lokasi pembiakan kelip-kelip. 

Untuk maklumat lanjut berkaitan tempahan chalet dan pengangkutan bot, anda boleh berhubung secara terus dengan; 

Pejabat Hutan Daerah Larut & Matang
34000 Taiping, Perak.
Tel: +605-8072 672
Fax: +605-8067 743

Rombongan dari mana-mana institusi pendidikan juga amatlah dialu-alukan. Jadi anda hanya perlu berhubung dengan pejabat hutan jika memerlukan bantuan berkaitan dengan lawatan anda.

Papan tanda yang mengalu-alukan kedatangan pengunjung ke Hutan Paya Larut Matang. Lengkap dengan maklumat berkaitan Hutan Paya Larut Matang. 


Ucapan alu-aluan dan briefing oleh pegawai perhutanan Hutan Paya Larut Matang. 

Maklumat tambahan berkaitan Hutan Paya Larut Matang dan kepentingannya dari sudut ekonomi boleh anda perolehi dengan mengunjungi galeri milik Jabatan Perhutanan yang dibina khusus bagi tujuan eko pendidikan.


Titian kayu sejauh lebih 1 km ini membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat keunikkan hutan paya bakau. Ia bermula dari galeri perhutanan dan berakhir di jeti milik Jabatan Perhutanan.

Antara spesis bakau yang tumbuh subur di kawasan Hutan Paya Larut Matang. 

Salah sebuah chalet untuk kemudahan pengunjung. Berkaitan harga dan tempahan, sila berhubung secara terus dengan Pejabat Hutan Daerah Larut & Matang.


Anda boleh menyewa bot untuk menyusuri muara yang terdapat di Hutan Paya Larut Matang.

Hasil kayu bakau dari Hutan Paya Larut Matang biasanya dituai untuk industri pembuatan kayu arang dan kebanyakkannya dieksport ke Jepun. Kayu arang ini digunakan secara meluas dalam pembuatan produk kosmetik dan juga pharmaceuticals.

Kalau ada masa dan berminat, anda boleh kunjungi kilang kayu arang berdekatan. Kami tiada kesempatan dan juga tiada minat... hehehe.

Untuk pengetahuan juga, kedai Mee Udang Mak Jah hanya 20 meter dari pintu masuk  ke Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Larut Matang. Tiada rezeki untuk kami mencuba kelazatan mee udang Mak Jah kerana khabarnya ia hanya dibuka lewat tengah hari, tapi bila dirujuk blog berkaitan jam 11 pagi dah buka.... mana satu betul ni?

Persinggahan terakhir kami sebelum bergerak pulang adalah Kota Ngah Ibrahim ataupun  Muzium Matang. Kota Ngah Ibrahim asalnya dibina oleh Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim Bin Jaafar pada tahun 1854. Kota ini dibina sebagai pusat pentadbiran bagi daerah Larut, kediaman rasmi Ngah Ibrahim dan juga pusat pengumpulan hasil bijih timah.

Kota Ngah Ibrahim dengan tembok batu sepanjang 131 meter dan 110 meter lebar, pernah diduduki oleh Kapten Tristam Speedy iaitu Penolong Residen Perak setelah Ngah Ibrahim dihukum buang negeri kerana menentang campur tangan Inggeris di Perak sesudah Perjanjian Pangkor 1874. 

Kota ini juga menjadi lokasi kepada perbicaraan Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor  atas tuduhan membunuh Residen British yang pertama di Perak, J.W.W Birch. Malahan di depan kota inilah kedua mereka dihukum gantung sampai mati pada 21 Januari 1877.

Kemudiannya Kota Ngah Ibrahim ini pernah menjadi kampus Maktab Perguruan Melayu pada tahun 1913. Manakala pada zaman pendudukkan Jepun, ia menjadi ibupejabat Pentadbiran Tentera Jepun.

Pada tahun 1985 Kota Ngah Ibrahim diambil alih oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti untuk dipulihara sebagai Kompleks Sejarah Matang @ Muzium Matang.

Antara yang anda boleh lihat dan pelajari dari Kota Ngah Ibrahim @ Kompleks Sejarah Matang...


Perkarangan masuk ke Kota Ngah Ibrahim atau kini dikenali juga sebagai Kompleks Sejarah Matang @ Muzium Matang. Masuk adalah percuma.


Kota Ngah Ibrahim turut tersenarai sebagai Tapak Warisan Negara.


Monumen memperingati bagaimana Long Jaafar menemui bijih timah di Larut. Malahan nama Larut diambil sempena nama gajah kepunyaan Long Jaafar. Menurut cerita gajah tersebut, Si Larut namanya telah hilang selama 3 hari. Apabila ditemui, Long Jaafar dapati badan Si Larut diselaputi bahan aneh. Lalu Long Jaafar menghantar sampel ke Pulau Pinang untuk dianalisa. Gumbiranya hati Long Jaafar apabila didapati bahan aneh tersebut adalah bijih timah lalu dibawanya sekumpulan orang Cina dari Pulau Pinang untuk memulakan aktiviti melombong bijih timah di Larut.


Salah satu ruangan dalam Kompleks Sejarah Matang ada menceritakan persengkataan dua kumpulan kongsi gelap Cina, Ghee Hin dan Hai San yang membawa kepada berlakunya Perang Larut I, II, dan III.


Sebaik sahaja Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles, Kota Ngah Ibrahim diambilalih oleh penjajah British. British telah membina sebuah penjara di tingkat bawah Kota Ngah Ibrahim, dan di sinilah Datuk Maharajalela dan Datuk Sagor dipenjara sebelum dibicarakan atas tuduhan membunuh J.W.W. Birch.


Kamar milik Ngah Ibrahim, tempat beliau beradu dan melelapkan mata.


Ruang pejabat Ngah Ibrahim.


Sewaktu penjajahan Jepun, Kota Ngah Ibrahim dijadikan ibupejabat pentadbiran tentera Jepun.

Banyak sejarah yang kita boleh perolehi dan jadikan iktibar dengan mengunjungi lokasi seperti Kota Ngah Ibrahim. Bagaimana sebuah daerah yang maju dan kaya akhirnya dikuasai oleh orang luar setelah pembesar tempatan bersengketa dan berebut kuasa sesama sendiri. Sejarah mungkin berulang..... hanya Allah Maha Mengetahui...

Kota Ngah Ibrahim merupakan destinasi terakhir lawatan kami.... seterusnya saya dan HM bergerak menuju ke highway untuk beransur pulang. Sebelum tiba ke plaza tol Changkat Jering, kami singgah di satu warung, Mee Udang Batu 6, letaknya di sempadan Simpang dan Changkat Jering.

Disamping mee udang, warung ini turut menyediakan masakan Melayu yang lain. Terpesona dengan lauk-pauk yang kelihatan lazat, ambo dan HM makan tengah hari dengan nasi campur... tapi sempat tapau juga mee udang special untuk makan malam nanti. Harga amat berpatutan untuk nasi dan lauk pauk. Mee udang biasa berharga RM7 dan mee udang special RM10.

Selesai makan tengah hari, kami terus masuk ke susur tol Changkat Jering untuk pulang ke rumah yang sudah 3 hari ditinggalkan. Perjalanan pulang Alhamdulillah amat lancar dan kami selamat tiba menjelang petang.... Alhamdulillah.

Oleh itu berakhirnya sesi bekerja sambil bercuti ambo dan HM ke Taiping.

Insya Allah kita berjumpa lagi dalam entry yang seterusnya.... ambo akan review hotel-hotel yang sempat kami inap semasa ke Taiping.

Sekian.

Thursday, 5 December 2013

Catatan Perjalanan Ke Taiping | 29 Nov - 1 Dis 2013 | Bhgn II

Kita kembali ke bahagian kedua catatan kembara kami ke bumi Taiping pada 29 Nov hingga 1 Dis 2013 yang lalu. Entry berkaitan bahagian pertama dulu telah dicoretkan kisah kami bermalam di Flemington Hotel, kemudian jalan-jalan cari makan di Taiping Central Mall. 

Pada hari kedua di Taiping, selain perlu menyempurnakan sedikit tugasan yang telah diamanatkan oleh kompeni.... kami sempat juga berjalan-jalan di sekitar kaki Bukit Larut, Taiping War Cemetery, Taman Tasik Taiping dan Muzium Perak.  

Bila dihitung, banyak juga tempat menarik yang sempat kami singgah... dah jadi macam bercuti sambil bekerja berbanding bekerja sambil bercuti.... hehehe....

Ok.... mari kita sama-sama rewind apa yang berlaku pada hari ke-2 kami di Taiping...

Sabtu (30 Nov 2013)

Pagi Sabtu kami bermula dengan sarapan pagi di Rain Tree Cafe, Flemington Hotel. Pilihan menu tidaklah banyak mana tapi bagi ambo lebih dari mencukupi. Ada nasi lemak, mee goreng, bread, cereals, telur separuh masak, fruits, manisan etc. 

Seronoknya bersarapan di Rain Tree Cafe, sambil kita menjamu selera kita boleh nikmati keindahan Taman Tasik Taiping yang letaknya hanya di seberang jalan. Boleh nampak pengunjung sedang jogging disirami titisan embun dan kadang-kala air hujan.... hehehe. Memang Taiping lembap sungguh.... saban waktu hujan turun.


Antara menu wajib sewaktu bersarapan.... telur separuh masak sebagai sumber tenaga. Masa kecil dahulu ambo cukup tidak suka telur separuh masak dan juga telur rebus. Bila dah menginjak usia dewasa baru boleh masuk mulut, makin lama semacam dah menjadi hidangan wajib sewaktu sarapan.

Antara hidangan yang sempat ambo nikmati sewaktu bersarapan adalah cereals with fresh milk, nasi lemak, telur separuh masak, fruits dan bergelas-gelas fresh orange.... hehehehe. Lebih dari cukup untuk membekalkan tenaga harian.

Seperti yang ambo ceritakan dalam entry terdahulu, ambo cuma berkesempatan untuk menginap di Flemington Hotel cuma semalaman sebab semua bilik fully booked kecuali suite dengan kadar RM310 semalaman. Kalau ikut hati memang tak mahu tinggalkan Flemington Hotel sebab selesa sangat tapi bila diingatkan kena bayar RM300 lebih untuk malam berikutnya, ambo dengan berat hati terpaksa pindah ke hotel lain, Hotel Vistana Micassa kat tengah-tengah bandar Taiping.

HM memang berat hati sungguh nak tinggalkan Flemington Hotel, jadi dia tak ikut ambo untuk site visit. Ambo tinggalkan HM bersendirian di bilik hotel sementara ambo keluar untuk menyelesaikan mana-mana tugasan yang patut. Alhamdulillah semua tugasan berjalan lancar untuk hari tersebut dan menjelang tengah hari  ambo kembali ke Flemington Hotel untuk check-out.

Punggah segala barangan ke dalam Vios selepas check-out, dan ambo pula tidak terikat dengan mana-mana tugasan untuk beberapa jam yang berikutnya. Jadi peluang ini kami gunakan untuk meninjau beberapa tempat menarik di sekitar Taiping yang tidak sempat kami lawati masa kunjungan kali pertama dahulu.

Persinggahan pertama kami adalah Taman Tasik Taiping, yang letaknya cuma bertentangan dengan Flemington Hotel. Kalau diikutkan sejarah, Taman Tasik Taiping merupakan kawasan bekas lombong bijih timah yang tertua di Malaysia. Keluasannya menjangkau 62 hektar, memiliki 10 tasik buatan dan mula dibuka pada tahun 1880 (Sumber: Wikipedia). 

Sesuai dengan peranan kini sebagai tapak rekreasi, Taman Tasik Taiping dilengkapi dengan balapan, taman permainan kanak-kanak, arena kasut roda dan kemudahan rekreasi sukan air seperti kayak dan bot.

Lokasi Taman Tasik Taiping cukup hampir dengan Bukit Larut, Zoo Taiping dan Taiping War Cemetery. Jadi para pengunjung dengan mudah boleh mengunjungi kesemua tempat ini pada hari yang sama jika penjelajahan bermula awal pagi.


Taman Tasik Taiping banyak ditanam dengan pokok angsana atau golden rains tree. Usianya mungkin sezaman dengan pembukaan Taman Tasik Taiping. 


Dedahan angsana ditumbuhi lumut dan tumbuhan yang lain, mengingatkan ambo kepada keunikkan flora yang ambo temui di Mossy Forest, Cameron Highlands. 


Selain flora, Taman Tasik Taiping juga menjadi habitat monyet. Kelihatan satu keluarga kera sedang picnic di dahan angsana. Ada bapak, ibu dan dua anak... hehehe.


Di bawah rimbunan angsana pula menjadi lokasi sepasang bakal laki binik berselfie. Mana ambo tahu mereka bakal laki binik? Hehehehe.... 


Penat jalan-jalan sekitar Taman Tasik Taiping, boleh duduk-duduk di bangku yang disediakan sambil minum-minum. 

Kalau tuan-tuan dan puan-puan berminat, boleh kunjungi Ride Cruise Taiping untuk aktiviti riadah air. Anda boleh berkayak dan juga menaiki bot mengelilingi tasik dengan kadar bayaran tertentu. Kalau sekadar singgah untuk minum-minum pun boleh, ada cafe dan convenience store juga di Ride Cruise Taiping.

Seterusnya kami ke Bukit Larut atau dikenali juga sebagai Maxwell Hill. Bukit Larut atau Maxwell Hill merupakan salah satu tempat peranginan tanah tinggi di Malaysia yang masih kekal dengan suasana kolonial. Pembangunannya tidak sepesat Cameron Highlands mahupun Genting Highlands. 

Dikatakan juga Bukit Larut merupakan pusat peranginan tanah tinggi tertua di Malaysia dan mula dibuka pada tahun 1884 oleh Penolong Pegawai Residen Negeri Perak, William Edward Maxwell. Pusat peranginan ini dibuka sebagai tempat percutian pegawai-pegawai British yang bertugas di Tanah Melayu pada masa itu. 

Pada awal pembukaannya sekitar 1884, para pegawai British terpaksa berjalan kaki, menaiki kuda ataupun diusung menggunakan kerusi pengusung (kurang ajaq sungguh mat salleh ni!!!) untuk sampai ke puncak Bukit Larut atau The Station. 

Sehinggalah pada era Perang Dunia Kedua, tentera-tentera Jepun yang berjaya menakluk seluruh Tanah Melayu telah memaksa prisoners of war (askar British, askar India dan mungkin juga penduduk tempatan) membina jalan raya dari kaki Bukit Larut menuju puncak ataupun The Station (sama saja kurang ajaq askaq Jepun ni!!!). Ini bagi memudahkan pergerakkan pegawai-pegawai Jepun yang turut menjadikan The Station sebagai kediaman rasmi mereka (Sumber: Wikipedia).

Apa tarikan utama di Bukit Larut?

Disebabkan Bukit Larut masih lagi terkawal pembangunannya, keadaan cuaca di puncak Bukit Larut amatlah nyaman (suhunya mungkin sama dengan musim luruh atau spring di negara 4 musim). Flora dan fauna masih belum terganggu sepenuhnya, memang syurga kepada nature lovers and birdwatchers.

Pada hari dengan cuaca elok, pengunjung ke The Station Bukit Larut boleh menikmati panorama bandar Taiping, malahan boleh menjangkau sehingga ke pesisiran pantai Pulau Pangkor dan Pulau Pinang. 

Bukit Larut juga pernah terkenal dengan taman tulip yang mula dibuka pada tahun 2009 tapi malangnya projek ini terbengkalai pada 2012. Selain daripada itu Bukit Larut juga terkenal sebagai laluan ke Gunung Hijau yang terletak 1449 dari aras laut.

Malangnya segala keindahan The Station gagal kami nikmati dengan mata kepala kami sendiri kerana tiket Land Rover ke The Station telah sold out. Nak jalan kaki boleh tapi ambil masa tiga hingga lima jam.... tak sanggup den!!!!!


Laluan menuju The Station. Laluan ini pada asalnya hanya boleh didaki dengan cara berjalan kaki, menaiki kuda atau usungan. Kemudiannya jalan raya dibina pada zaman pendudukkan Jepun hasil keringat dan darah tahanan perang. 


Kenderaan persendirian tidak dibenarkan naik ke puncak Bukit Larut. Para pengunjung perlu menggunakan kemudahan kenderaan Land Rover 4x4 milik Pejabat Peranginan Bukit Larut. Perjalanan menggunakan Land Rover 4x4 ke The Station mengambil masa kira-kira 30 minit.


Jadual perjalanan Land Rover 4x4 dan kadar tambang.


Longlai lutut bila tengok tiket semua sudah SOLD OUT. Bila mana musim cuti sekolah atau hujung minggu kena datang seawal pagi untuk beli tiket. Tiket untuk naik ke The Station hanya boleh dibeli pada hari perjalanan (ambo cuba booking untuk hari berikutnya, memang tak boleh kata macha yang pegang telefon). Pejabat Peranginan Bukit Larut juga hanya memiliki 3 buah Land Rover 4x4, ini juga penyebab kepada terhadnya bilangan pengunjung yang boleh di bawa ke The Station. 

Semasa perjalanan pulang dari kaki Bukit Larut, kami singgah seketika di Taiping War Cemetery. Lokasinya kurang 1 km dari kaki Bukit Larut. Taiping War Cemetery menjadi tempat bersemadinya tentera-tentera bersekutu yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua. Tempat persemadian ini dibangunkan dan dipulihara oleh Commonwealth War Graves Commission. 

Keseluruhannya, kira-kira 850 jasad milik tentera bersekutu yang terkorban dalam era Perang Dunia Kedua bersemadi di sini termasuklah 500 jasad yang masih belum dikenalpasti. Dipercayai sebahagian besarnya milik askar-askar British yang berasal dari benua kecil India, disamping pegawai-pegawai British dan Commonwealth.

Taiping War Cemetery diselia pembinaannya oleh Major J.H. Ingram, seorang pegawai tentera British sejurus tamatnya Perang Dunia Kedua. Beliau diamanatkan untuk mengenalpasti jasad-jasad tentera bersekutu yang gugur dalam medan pertempuran di sekitar Taiping. Tinggalan jasad-jasad mereka ini dikumpulkan dari tapak medan pertempuran dan perkuburan sementara yang berselerak di sekitar Taiping.

Jalan Bukit Larut memisahkan Taiping War Cemetery kepada dua bahagian. Bahagian tenggara menempatkan pusara persemadian tentera-tentera bersekutu beragama Christian manakala bahagian yang satu lagi bersemadinya perajurit-perajurit bersekutu beragama Islam.


Tempat bersemadinya tentera-tentera bersekutu beragama Islam dan kebanyakkannya berasal dari India. Al-Fatihah untuk mereka yang gugur, semoga ditempatkan dikalangan mereka yang beriman.


Stone of Remembrance dibina untuk memperingati tentera bersekutu yang terkorban sewaktu Perang Dunia Kedua. Pada bahagian Taiping War Cemetery yang menempatkan jasad-jasad tentera bersekutu beragama Christian, didirikan juga Cross of Sacrifice. 

Bertakafur seketika sebagai menghormati mereka yang terkorban, kami kemudiannya bergerak pula ke Muzium Perak yang letaknya hanya bertentangan dengan Penjara Taiping, salah satu bangunan tinggalan kolonial.

Muzium Perak merupakan muzium tertua di Malaysia dan diasaskan oleh Sir Hugh Low, Resident British of Perak yang ke empat pada tahun 1883. 

Pada awal penubuhannya oleh Sir Hugh Low, Muzium Perak berfungsi untuk mengumpul maklumat berkaitan natural history seperti ethnography (kajian sosio-budaya penduduk setempat), zoology (kajian berkaitan haiwan), botany (kajian berasaskan tumbuhan) dan geology (kajian batu batan).

Kini Muzium Perak menempatkan sisa-sisa tinggalan kolonial, maklumat berkaitan sosio-budaya negeri Perak dan juga sampel-sampel kekayaan alam negeri Perak.


Muzium Perak kini diselia oleh Jabatan Muzium Malaysia.


Bangunan Muzium Perak bercirikan kolonial. Kedudukkannya hanya setentang dengan satu lagi bangunan tinggalan kolonial iaitu Penjara Taiping yang masih berfungsi sehingga kini.


Tiket masuk cuma RM2 untuk dewasa warganegara Malaysia. 


Antara koleksi Muzium Perak.

Disebabkan pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam Muzium Perak, tiada foto-foto dalaman Muzium Perak yang dapat ambo kongsi di sini. Tapi ada juga para pengunjung yang curi-curi ambil gambar menggunakan smart phone. Ambo bawa DSLR jadi memang tak ada peluang langsung nak curi-curi ambil gambar, lagipun muzium ini sememangnya dilengkapi dengan CCTV.

Disebelah Muzium Perak ini letaknya sebuah kedai makan, luput pula ingatan ambo akan namanya. Tapi disitulah kami minum-minum sebelum masuk ke Muzium Perak setelah HM tiba-tiba mengadu dugal dan masuk angin. 

Sejurus kemudian kami ke Vistana Micassa Hotel pula untuk check-in. Sedih rasanya sebab kena down grade hotel.... hehehe. Bilik superior di Vistana Micassa Hotel jauh lebih kecil berbanding Flemington Hotel. Nak buat macam mana, redho sajalah... spontaneous traveller la katakan.... hehehehe.


Boutique hotel yang letaknya di pinggir bandar Taiping. 

Lepak-lepak sekejap kemudian turun semula untuk makan lewat tengah hari. Kembali semula ke kedai makan sebelah Muzium Perak, makanan hampir habis dan kedai pun hampir tutup. Menu yang bersisa cumalah nasi ayam biasa dan nasi ayam penyet.

Mulanya ambo tak faham apa maksud nasi ayam penyet. Ambo ingatkan lauknya ayam penyet macam masakan Indonesia. Rupanya nasi ayam penyet bermaksud, lauknya masih sama cuma nasinya adalah nasi putih biasa. Kalau begitu, kompem nasi ayam biasa jadi pilihan kami berdua.... hehehe.

Kemudian kami kembali semula ke Vistana Micassa Hotel untuk bersihkan diri, solat dan berehat seketika.

Lewat petang kami keluar semula sekadar untuk berjalan-jalan di sekitar bandar Taiping.


Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama. Bangunan bercirikan kolonial ini masih kukuh berkhidmat kepada penduduk setempat.


Apa motif ambo captured gambar ini? Lupa...  


Menara jam ini letaknya di Jalan Pasar, simpang masuk ke Pasar Basah Taiping.


Tourist Information Center.


Bandar lama tapi aman damai dari kesesakkan trafik yang melampau.


Kalau berminat boleh juga menginap di Panorama Hotel, betul-betul di tengah bandar dan dibawahnya deretan kedai.

Masa jalan-jalan jumpa Kepsi di tengah pekan Taiping, jadi makan malam kami untuk hari tersebut adalah ayam goreng Kepsi... hehehe.

Orang kata kalau ke Taiping wajib singgah Doli Kuey Teow di Jalan Regat Tupai sebab kuey teow dia memang sedap. Kami ada jumpa tapi masa itu langsung tak ada selera nak makan kuey teow, mungkin lain kali sajalah.

Lihat jam masih ada masa sebelum Maghrib, jadi kami kembali ke Vistana Micassa Hotel dan ambil kereta untuk ke Taman Tasik Taiping sekali lagi. Mujur kesemua tempat ini dekat-dekat, jadi amat memudahkan.

Apa tujuan kami ke Taman Tasik Taiping sekali lagi?

Tiada apa-apa sekadar untuk menghirup udara petang tapi malangnya tak dapat lama-lama kerana hujan mula turun rintik-rintik, kemudian semakin lebat.

Antara aksi pengunjung Taman Tasik Taiping pada petang tersebut...


Sekumpulan amoi meraikan salah seorang rakan mereka yang tamat pengajian.
   
Menghirup udara segar sambil berborak kosong.


Skodeng pengantin baru sedang bercumbu mengabadikan kenangan hari bahagia mereka di Taman Tasik Taiping. Lokasi ini memamg popular untuk sesi fotografi pengantin baru.


Pengantin lama pun tidak kurangnya... hehehe.

Nak lama-lama pun dah tak boleh sebab hujan makin lebat. Bergegaslah kami masuk ke kereta dan pulang ke hotel. Malam tersebut tak keluar ke mana-man pun. Cuma lepak-lepak dalam bilik sambil tengok televisyen.

Hampir lewat malam dapat satu text message dari anak-anak buah...

'encik.... malam ni pun mee udang Mak Jah sold out la encik, kempunan kami'

Gegeh betul mereka mencuba nasib untuk merasai kehebatan mee udang Mak Jah... hehehehe.

Maka dengan itu berakhirlah aktiviti kami untuk hari kedua di Taiping.  

Esok hari terakhir kami di Taiping dan destinasi untuk hari esok adalah Pusat Eko-Pelajaran Hutan Paya Larut Matang milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak serta Muzium Matang @ Kota Ngah Ibrahim.

Sehingga bertemu lagi dalam bahagian terakhir catatan perjalanan ke Taiping.... salam bahagia.