As-Salam & Salam Sejahtera,
Moh kite semua ke Teluk Intan.
Ape kehei nak ke Teluk Intan?
Ade urusan keluarge kat sane....
Ye kei?
Lama sungguh ambe tak ke Teluk Intan, walau bukan jauh benar dari TM. Tapi dah tak ada urusan atau keperluan penting, maka dah bertahun kaki ambe tak jejaki debu-debu tanah di Teluk Intan.
Tapi baru-baru ini, kebetulan salah seorang keluarga terdekat bertemu jodoh dengan orang Teluk Intan atau dahulunya dikenali sebagai Teluk Anson. Maka berangkatlah kami sekeluarga ke sana.
Alang-alang dah sampai, masuk hukum wajib pula untuk kunjungi tempat-tempat menarik di Teluk Intan. Urusan majlis pula menyebelahi kami, dalam tengah hari Alhamdulillah semuanya selesai. Masa terluang digunakan sepenuhnya untuk melawat tempat-tempat tarikan pelancong ke Teluk Intan.
Antara yang sempat kami kunjungi adalah Menara Condong dan Batu Bertenggek.
Tak dapat kunjungi Menara Condong Pisa kat Itali nun, dapat sampai ke Menara Condong Teluk Intan pun jadilah.
Menariknya Menara Condong Teluk Intan, luarannya kelihatan seperti bangunan setinggi 8 tingkat. Tapi sebenarnya ia cuma bangunan setinggi 3 tingkat. Ketinggiannya kira-kira 25.5 meter.
Jika diikutkan sejarah, menara ini dibina untuk menempatkan sebuah tangki air besar. Khusus untuk kegunaan dimusim kemarau dan juga sewaktu kebakaran.
Akibat daripada beratnya tangki air tersebut, dan tapak menara yang agak lembut menyebabkan ianya condong ke arah barat daya.
Kemudian ia juga pernah berfungsi sebagai penunjuk arah kepada kapal-kapal yang memasuki Pelabuhan Teluk Anson pada masa tersebut. Akhir sekali, kekal sehingga kini, Menara Condong Teluk Intan berfungsi sebagai menara jam. Jam tersebut dibeli dari London pada tahun 1894.
Catatan sejarah Menara Condong Teluk Intan.
Jom kita lihat apa ada di dalam menara;
Masuk adalah percuma!!!
Apa-apa pun kita isi buku pelawat dahulu.
Adeh bung!!! Bukunya ada tapi pen kemana menghilang? Tak ada rezeki nak mengabadikan nama ambe pada buku pelawat.
Masa lawatan, Selasa hingga Jumaat dibuka mulai jam 8 pagi sehingga 5 petang. Hujung minggu dan kelepasan am dibuka sedikit lewat, jam 9 pagi sehingga 6 petang.
Jangan bikin jenayah ya!!! Anda sentiasa diperhatikan. CCTV untuk mencegah vandalism dan juga kelakuan tidak senonoh pengunjung.
Termaktub sebagai salah satu warisan kebangsaan.
Sebaik sahaja kaki mencecah lantai menara di tingkat paling bawah, ini yang kita nampak dahulu. Perigi kecil yang dijadikan tempat untuk berniat dan membayar nazar.
Banyak juga note seringgit terapung, dan duit syiling di dasar perigi.
Selain daripada contengan nakal kaki vandalism, dinding menara dihiasi dengan foto-foto lama yang menceritakan sejarah Teluk Anson.
Sakan ini macha meluahkan perasaan kepada pujaan hati pengarang jantung.
Sakit mata dengan segala macam contengan, jom kita naik ke atas. Ada kira-kira 110 anak tangga perlu didaki untuk ke tingkat paling atas.
Aras 3, aras paling tinggi pengunjung awam boleh tiba. Anak tangga ini kalau tak silap akan membawa kita ke menara jam. Petugas sahaja yang boleh naik. Pengunjung awam pun boleh kalau nak, tapi tanggung saja natijahnya jika tertangkap.
Tingkap pada setiap sisi menara. Buka sahaja, terasa angin sejuk dari luar menyerbu masuk.
Ladung jam.
Pemandangan salah satu sudut bandar Teluk Intan dari arah menara.
Berbalam-balam nun jauh di sana, kalau tak silap pasar pagi. Katanya, kadang kala ada jualan barangan antik. Pengumpul barangan antik tentu berminat dengan pasar pagi ini.
Jom keluar, kita tinjau keliling menara pula. Ada kompleks menara condong, dari jauh seperti ada banyak kedai-kedai kecil.
Arked Teluk Intan. Kami cuma tinjau dari jauh.
Deretan kedai lama, cukup klasik dan menunjukkan usia sebenar pekan Teluk Intan.
Medan selera, tapi ramai yang masih belum buka kedai. Kami awal sangat ke?
Kemudian, kami ke lokasi tarikan pelancongan kedua di pekan Teluk Intan iaitu Batu Bertenggek.
Batu Bertenggek ini adalah sebiji batu besar, sebesar kereta Kancil yang diletakkan di atas satu binaan. Khusus untuk memperingati para perajurit yang kehilangan nyawa pada zaman perang dunia kedua.
Nampak tak Batu Bertenggek?
Gambaran jarak jauh dan dari dalam kereta.
Nak cari Batu Bertenggek ini mudah sahaja, letaknya di hadapan bangunan SKOMK.
Jika diikutkan, masih ada lagi lokasi yang patut dikunjungi jika kita ke Teluk Intan. Antaranya adalah Beting Beras Basah dan Jeti Bagan Datoh.
Tapi disebabkan kesuntukkan masa, dua tempat tersebut tidak sempat kami lawati. Kesuntukkan masa bukan apa, ini kerana selepas ini kami bercadang hendak ke Lumut pula.
Moh kite ke Lumut!!!