Thursday, 22 May 2014

Panduan Membeli Rumah - Berapa Deposit Yang Perlu Dibayar Kepada Pemaju dan Yuran Guaman Yang Harus Dijelaskan Kepada Peguam?

Proses untuk memiliki kediaman idaman sememangnya agak memeningkan. Bermulanya dengan memilih lokasi yang bersesuaian dengan citarasa hati, diikuti dengan rekabentuk dan sudah tentulah persediaan kewangan.

Kewangan sememangnya amat crucial kata omputih, sedikit sebanyak memang kena ada. Nak booking rumah kena bayar deposit, kalau beli rumah dengan menggunakan pinjaman bank, busuk-busuk kena dahulukan 10% dari nilai keseluruhan pinjaman. Kalau buat pinjaman perumahan kerajaan sajalah ditanggung 100% pinjaman, tapi kena ingat deposit tetap kena ada. Itu belum lagi yuran guaman!!! Memang nangis jugalah kalau tak ada persediaan awal.

Jadi, persoalannya berapa banyak yang biasanya pemaju minta sebagai wang deposit untuk memiliki sebuah rumah idaman? Ini biasanya bergantung kepada pemaju, nilai rumah dan juga jenis pinjaman.

Apa yang ambo ingin kongsi kali ini adalah pengalaman ambo dan isteri membeli dua unit kediaman berharga dalam lingkungan RM300-400k menggunakan pinjaman kerajaan.

Pengalaman I

Ambo mulakan dengan pengalaman ambo sendiri dahulu. Untuk memiliki seunit kediaman idaman ambo dengan nilai pasaran RM360k, pemaju meminta RM3k sebagai wang deposit. Itu pun sebab ambo nyatakan akan membuat pinjaman kerajaan. Jika membuat pinjaman bank, anda kena lunaskan sekurang-kurangnya 10% dari harga rumah dahulu kerana tiada bank yang menawarkan 100% pinjaman.

Kalau harga rumah pula melebihi kadar kelayakan pinjaman kerajaan, kenalah usahakan lebihan bayaran tersebut - mungkin dari simpanan peribadi, atau mungkin juga dari pinjaman peribadi dari bank-bank komersial.

Yuran guaman pula bagaimana?

Untuk nilai rumah sekitar RM360k yang ambo beli, dijangkakan yuran guaman yang bakal dikenakan adalah sekitar RM12k. Ini meliputi kos guaman perjanjian diantara pemaju dengan pembeli dan juga diantara pemohon dengan Perbendaharaan Malaysia. Nilai RM12k ini nampak agak besar kerana ia sebenarnya meliputi bayaran premium tanah. 

Yuran guaman sebenar tak banyak mana, tapi bila dicampur dengan premium tanah, itu yang menjangkau sehingga RM12k. Jumlah ini mungkin berkurangan jika nilai premium tanah bakal kediaman anda adalah lebih murah - contohnya di luar bandar, kawasan kurang membangun etc. Kalau beli perumahan di kawasan kota atau bandaraya, bersedialah dengan kos guaman yang tinggi disebabkan oleh premium tanah.

Untuk makluman juga, bukanlah kita kena jelaskan yuran guaman tersebut on the dot. Pengalaman peribadi ambo sendiri, selepas hampir 3 bulan perjanjian S&P ditandatangani, bil dari syarikat guaman masih belum ambo terima. Menurut peguam yang terlibat dalam urusan pembelian rumah idaman ambo tersebut, bil biasanya akan dihantar selepas urusan pembelian dan pinjaman perumahan selesai. Itu pun masih boleh runding kalau nak bayar sekaligus atau secara ansuran. Ada juga yang bayar yuran guaman mengikut kemajuan pembinaan rumah, ada yang bayar lump sum. Bergantung kepada budi bicara peguam dan polisi syarikat guaman.

Pengalaman II

Ini pula pengalaman isteri ambo yang membeli sebuah rumah dengan nilai pasaran RM270k, juga menggunakan pinjaman perumahan dari Perbendaharaan Malaysia.

Kita mulakan dengan deposit, pemaju cuma minta RM500. Murahkan berbanding pemaju rumah yang ambo beli tadi? Nilai deposit ini bergantung kepada pemaju, ada yang tinggi dan ada yang rendah, deposit RM0 pun ada kalau memang rezeki anda. 

Hukumnya, kalau kawasan kediaman tersebut bernilai tinggi dan menjadi rebutan, biasanya nilai deposit juga akan turut naik. Kalau kurang sambutan, deposit pun sedikit rendah.

Yuran guaman pula berapa?

Kali ini isteri ambo memang bernasib baik sebab pemaju otak bergeliga dan pandai memanipulasi harga rumah. Masih perlu jelaskan yuran guaman dan premium tanah, tapi tak perlu dahulukan duit sendiri. Kos yuran guaman dan premium tanah dirangkumkan ke dalam harga rumah, jadi nilai pinjaman perumahan beliau merangkumi harga rumah + yuran guaman + premium tanah. 

Ada pemaju yang boleh tolong anda sebegitu. Mereka pun nak jual rumah dan dapatkan pembeli, jadi berbagai usaha dibuat agar bakal pembeli mampu memiliki kediaman idaman masing-masing.

Semoga pengalaman kami ini boleh dijadikan panduan kepada readers semua!!! 

Roger and out.

No comments:

Post a Comment