Tuesday 25 October 2016

RiaNG Ria Di LoST WoRLD oF TaMBuN (2016)

Kembar Sunway Lagoon !

Lama pendam dan peram cerita ke Lost World of Tambun, dari bulan 6 yang lalu. Lost World merupakan salah satu wish list anak-anak yang juga sudah lama diperam sebab mak bapak kesuntukan masa dan kesenakan duit poket hahaha !

Kisah perjalanan kami ke Lost World bermula dari rumah di TM sebelum menyinggah di Agro Bazar RTC Gopeng sebab anak-anak mahu top-up munchy-munchy. Menariknya, pada masa tersebut ada Karnival Industri Asas Tani & Florikultur 2016 sedang berlangsung. Banyak produk-produk dan hasil industri hiliran berasaskan pertanian dipamerkan. 

RTC Gopeng

Produk hiliran industri tani !

Langsung teruskan perjalanan dari RTC Gopeng kerana kesuntukan masa dan hanya tiba di Lost World hampir jam 1 tengah hari. Agak panas terik, ramai pengunjung yang baru tiba ambil kesempatan untuk berteduh di bawah pokok sekitar tempat parking untuk berpicnic - makan tengah hari. Sedia maklum harga makanan di tempat sebegini seharusnya mahal-mahal belaka. Jadi ramai yang bawa bekal dari rumah dan makan kenyang-kenyang sebelum masuk. 

Kami pula, hanya melenggang kangkung tak bawa bekal walau dompet tak setebal mana. Agak-agaklah apa nak makan dalam nanti agar tidak berhabisan wang ringgit. Cuma bawa bekalan air masak, harap-harap boleh lepas untuk dibawa masuk nanti.

 Panas terik, tidak lapar tapi haus !

Ruang parkir kereta hampir penuh, menandakan agak ramai juga pengunjung yang datang walaupun bukan musim cuti sekolah, cuma hujung minggu yang biasa. Anak-anak minta bergegas beli tiket sebab tidak sabar untuk mandi-manda katanya. Sebelum itu sempat juga berposing bersama kucing batu depan pintu masuk ke Lost World.

Unsangkarable, parkir penuh tapi tidak ramai pula orang di kaunter tiket. Mungkin sebab ramai yang datang awal. Sementara tunggu giliran untuk beli tiket, snappy-snappy gelagat para pengunjung dengan Nikon D3100. Kalau di Sunway Lagoon dulu kena sediakan MyKad dan MyKid untuk pengesahan status warganegara tapi di Lost World tidak diminta pula. Mungkin harga tetap sama ada untuk warga tempatan mahupun warga asing.

Tiket dan harga !

Dewasa RM58 dan kanak-kanak 12 tahun ke bawah RM51. Percuma jika ketinggian tidak mencapai 90 cm. Menariknya ada diskaun untuk pemegang keahlian Petronas Mesra dan ahli loyalti card yang lain. Jika tidak salah ingatan, diskaun sebanyak 10 peratus diberikan kepada ahli kad-kad tersebut.

Tiket dah beli, gelang pun sudah ada ditangan, tunggu apa lagi kata anak-anak, jom kita serbu main air ! Masa lalu security check, kena tunjuk semua yang ada dalam beg. Makanan langsung tak dibenarkan tapi bekalan air masak tiada masalah untuk dibawa masuk.

No outside food. Air masak dibenarkan !

Lost World of Tambun dibahagikan kepada beberapa bahagian sepertimana saudara kembarnya Sunway Lagoon.

1. Lost World Water Park
2. Lost World Amusement Park
3. Lost World Petting Zoo
4. Lost World Tiger Valley
5. Lost World Tin Valley
6. Lost World Adventure Park

Kepala anak-anak hanya nampak water park sahaja, lain-lain depa tak mahu tahu. Pujuk anak-anak kita jangan basah-basah dahulu. Riang ria di Amusement Park untuk main Perak Parade, Storm Rider, Giddy Galleon dan Dragon Flight.

Giddy Galleon !

Storm Rider !

Tapi sekejap je di Amusement Park. Satunya sebab tak banyak games dan orang juga tak ramai, tak perlu menunggu lama untuk main. Keduanya sebab anak-anak sememangnya tak sabar nak main air.

Ok lah anak-anak, jom kita berbikini !

Etika berpakaian di water park !

Tidaklah strict sangat asalkan pakai apa yang bersesuaian. Hemat kami, mandi-manda di Sunway Lagoon lagi menyeronokkan berbanding di Lost World of Tambun. Water park di Lost World agak kecil berbanding Sunway Lagoon. Kekurangan tersebut tidaklah sampai mencacatkan keunikan Lost World, masih lagi berbaloi untuk dikunjungi.

Akuarium dalam bilik persalinan.

Pantai tiruan !

Tiada ombak tiruan, Sunway Lagoon ada !

Jangan salah faham, hatta Lost World tidak sehappening Sunway Lagoon, anak-anak tetap enjoy dan gumbira sakan main air. Tapi lepas puas main air di bawah terik cahaya matahari, anak-anak mula mengadu lapar sebab dari pagi tadi mereka cuma bersarapan ringan di rumah. Seronok nak main air sampai lupa nak ambil makanan berat semasa sarapan.

Klasik !

Pejam mata sajalah !

Recharge tenaga dengan nasi ayam !

Lepas isi perut dengan nasi ayam dan 100 plus, anak-anak nak sambung main air tapi kedengaran siren memanggil-manggil. Jom kita follow dari mana datangnya bunyi siren tersebut.

Rupanya ada show nak bagi rimau makan di Lost World Tiger Valley. Berpusu-pusu orang berebut nak tengok, grand stand dah penuh sesak. Sipi-sipi pun ramai orang, maka terloncat-loncat kami di belakang meninjau apa yang ada kat depan. Anak-anak pula tiba-tiba hilang, rupanya menyusup di celah-celah orang ramai untuk ke depan.

Gah nama, macam banyak rimau !

Excited dapat makan daging !

Natang lain pun inteprem show !

Show bukan setakat bagi makan rimau. Ada show haiwan-haiwan lain juga seperti musang meniti tali, kakak tua main silap mata dan lupa dah yang lain. Paling grand tengok rimau makan lah. Menarik tapi sebab panas sangat tak boleh nak bagi tumpuan dah.

Belum habis show dah beredar cari tempat teduh, tak tahan beta dengan cuaca panas khatulistiwa !

Adventure Express !

Adventure Express akan pusing-pusing sekitar Lost World tapi anak-anak tak minat pula nak naik. Depa teruja nak naik Lupe's Adventure. Nak layan Lupe's Adventure memang kena ada tahap kesabaran yang tinggi. Sabar bukan apa, panjang pula yang berbaris untuk tunggu giliran. Anak-anak tak kisah sangat, sanggup menunggu, janji dapat naik. Kami mak bapak hanya melepak di bawah pokok sambil menghirup 100 plus dingin. Nikmat seh !

Lupe's Adventure !

Haunted Chambers

Kalau ikutkan hanya separuh Lost World yang sempat kami teroka. Haunted Chambers macam best tapi dah kata heart conditions kena bagus baru boleh masuk, terus tak jadi. Anak-anak pun macam tak berminat. 

Tin valley, petting zoo dan adventure park pun kami tak sempat tinjau. Tak sempat dan juga anak-anak tak teruja untuk pergi tengok. Lepas main Lupe's Adventure, depa sibuk ajak main air semula. Manda manda basah badan kemudian ulang main Storm Rider dan Giddy Galleon.

Sebelum balik singgah booth photo, untuk beli gambar kenang-kenangan.

Hampir jam 7 bertolak balik ke TM. Cuma setengah hari di Lost World, singkat tapi cukup untuk menggembirakan hati anak-anak.

- Ketam Batu -

No comments:

Post a Comment