Wednesday 12 September 2018

BERCUTI KE PULAU PINANG (OGOS 2018) : 03 - TAMAN BOTANI PULAU PINANG (PENANG BOTANIC GARDEN)


Hari ke-3 di Pulau Pinang, kami berjalan-jalan di sekitar Taman Botani Pulau Pinang. Pada hari ini, crowd agak ramai dengan trafik yang agak sesak kerana Pesta Orkid sedang berlangsung. Mengeruhkan keadaan, pengunjung meletakkan kenderaan ditempat yang tidak sepatutnya, lalu menyempitkan laluan keluar masuk ke taman. 

Masuk adalah percuma, jadi ini antara destinasi yang wajib kunjung di Pulau Pinang, tanpa memokaikan poket. Sebelum kita explore keindahan taman, kita selusuri terlebih dahulu sejarah Taman Botani Pulau Pinang;

"Penang Botanic Gardens (Taman Botani Pulau Pinang) atau dikenali juga sebagai Waterfall Gardens mempunyai susur galur sejarah bermula dari tahun 1884 (diasaskan oleh Nathaniel Cantley yang juga penguasa Singapore Botanic Gardens, beliau melantik Charles Curtis sebagai pembantu penguasa)."

"Pernah melalui beberapa kesulitan. Antaranya pernah direncanakan untuk ditukar menjadi reservoir atau kawasan takungan air pada tahun 1910.  Nasib menyebelahinya apabila rancangan ini diabaikan oleh pihak penguasa majlis tempatan. Kemudian sewaktu perang dunia ke-2, tempat ini pernah dijadikan tempat simpanan peluru oleh tentera Jepun."

"Rakyat Malaysia pertama yang mengetuai Penang Botanic Gardens adalah En Cheang Kok Choy yang bersara pada tahun 1976. Kini taman ini ditadbir oleh kerajaan Pulau Pinang melalui Penang Botanic Gardens Department."

Apa yang menarik...? Sudah tentulah keindahan flora dan fauna. Antaranya adalah cannon ball tree dan monyet-monyet liar yang tidaklah berbahaya melainkan mereka terasa terancam. Penduduk tempatan sememangnya menjadikan taman ini sebagai tempat beriadah, kerana tempat ini cukup nyaman dan redup. Ada laluan untuk beriadah atau menikmati keindahan taman.

Pada mulanya kami mahu bersama penduduk tempatan menyusuri taman dengan cara berjalan santai. Tetapi baru beberapa langkah, sudah ada yang sengal-sengal tulang dan lenguh lutut, aduan biasa apabila travel bersama warga emas. Jadi kami kembali ke pintu masuk taman dengan niat ingin beredar.

Sehinggalah kami nampak kiosk tram service. Tinjau harga, eh ! murah banget. Cuma 3 ringgit untuk dewasa dan 2 ringgit untuk kanak-kanak. Terus ambil satu tram, cukup-cukup untuk kami satu family.


Tram service yang dikendalikan oleh operator swasta


Contoh tram, sebenarnya golf cart

Pemandu tram akan bawa kita mengelilingi taman. Bagusnya selain daripada tidak perlu sengal-sengal lutut, pemandu akan menerangkan info-info penting berkenaan taman. Contohnya nama-nama pokok, kegunaan dan usia pokok (ada yang menjangkau ratusan tahun). Apabila tiba di rumah orkid, kita akan diminta turun seketika untuk menyusuri laluan hutan hujan khatulistiwa. Jangan panik jika pemandu tram terus berlalu, memang dia tak akan tunggu pun. Lepas kita turun, dia akan angkut kumpulan sebelumnya balik. 

Dihujung laluan menyusuri hutan tersebut, kita akan jumpa kolam penuh dengan pokok teratai. Kami juga jumpa seorang nenek tua yang sedang bersenam. Bukan nenek kebayan, ini betul-betul nenek. Tua tapi masih sihat dan bertenaga, saban minggu katanya datang untuk beriadah. Memang udara di sini cukup fresh, boleh rasa dan bau hutan dengan bunyi burung, monyet dan serangga berpadu.


Jalan-jalan di hutam rimba, hujungnya ada kolam penuh dengan teratai


Teratai 


Tram dah sampai untuk kita balik

Sebenarnya ada banyak lagi lokasi menarik untuk dikunjungi di Taman Botani Pulau Pinang. Antaranya adalah;

1. Rumah Orchidarium
2. Rumah Bromeliad
3. Rumah Begonia
4. The Fern Rockery
5. Rumah Kaktus
6. Rumah Paku Pakis
7. Jungle Trekking

Paling molek jika dapat menyusuri semua ini dengan hanya berjalan kaki. Jadi dinasihatkan datang awal, sewaktu hari masih belum terlalu panas. Tapi bagi orang muda, hatta di siang hari pun tak ada masalah.

Lawatan kami berakhir di kolam teratai dan rumah orkid. Lain-lain tempat tidak sempat kami lawati lantaran kekangan kudrat (warga emas plus anak kecil). Ok dah rasanya, janji kami dah sampai. Kalau nak repeat, agak-agak macam lambat lagilah.

Juga berakhirnya percutian kami ke Pulau Pinang. Keluar sahaja dari taman, semua sudah surrender dan hanya mahu pulang ke rumah. Selamat tinggal Penang, selamat tinggal Penangite !

Review Luxfort118 Service Suites Bercuti Ke Pulau Pinang Bhgn 01
Jalan-jalan ke Bukit Bendera Bercuti Ke Pulau Pinang Bhgn 02

Regards: Ketam Batu

1 comment:

  1. Jom tonton keindahan hutan di Taman Negeri Bukit Panchor, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Klik atau copy link YOUTUBE di bawah. Selamat menonton.

    https://www.youtube.com/watch?v=1k0Wt0lodEM&t=89s

    ReplyDelete