Tuesday 5 May 2015

aiR TuaK MiNuMaN TRaDiSi MaSYaRaKaT KeLaNTaN

Biar benar, kau minum tuak. Haram tu de!!!

Hahaha, itu adalah respon awal seorang sahabat masa zaman belajar di UKM dahulu bila ambe beritahu, orang Kelantan suka minum tuak sewaktu berbuka puasa.

Tuak bagi masyarakat Kelantan, merujuk kepada nira kelapa dan bukannya hasil tapaian yang memabukkan.

Menjadi kelaziman di bulan Ramadhan, tuak atau nira ini menjadi antara sajian utama sewaktu berbuka puasa. Kelazatan dan kemanisan air tuak mampu menghilangkan haus dan mengembalikan tenaga selepas seharian berpuasa.

Jika dahulu, tuak hanya popular dan senang diperolehi sewaktu bulan Ramadhan sahaja. Tapi kini ia boleh diperolehi saban hari. Jika anda memandu melalui jalan Kuala Krai-Machang (sekitar Temangan dan Kg Batu 30, jika tidak silap), di kiri kanan jalan meriah dengan gerai menjual buah-buahan, goreng pisang dan air tuak.

Harganya cukup murah, cuma seringgit untuk bekas minuman bersaiz kecil dan dua ringgit untuk yang bersaiz sederhana.

Masa balik ke kampung sempena cuti hari pekerja beberapa hari yang lepas, ambe cuba introduce air tuak kepada anak-anak. Tapi tercium baunya sahaja sudah pening kepala hahahaha!!!

Memang baunya sedikit masam tapi bila masuk ke tengkolok, boleh bikin ketagih (jika kena dengan selera). 

Seingat ambe, masa kecil dahulu, ambe bukanlah peminat air tuak ataupun tapai yang lain. Cuma setelah menjelang dewasa baru tahu menikmati minuman tradisi tersebut.

Mungkin bila usia mereka menjelang dewasa, anak-anak ambe akan pandai menikmati kelazatan minuman tradisi nenek moyang mereka.

Tapi my wife dan in-laws, boleh bah kalo kau!!!

No problem untuk meneguk tuak Kelantan.

Alang-alang kita sudah sembang pasal tuak, apakata kita kongsi cerita sedikit berkenaan dengan cara penghasilan air tuak. Ambe tiada pengalaman peribadi tapi masa kecil-kecil dahulu pernah lihat arwah bapa dan pakcik-pakcik memanjat pokok kelapa untuk memungut tuak.

Proses bermula dengan memanjat pokok kelapa, lazimnya zaman itu pokok kelapa memang tinggi-tinggi. Jadi kerja ini memang memerlukan stamina dan kederat. 

Kemudian arwah bapa ambe dan pakcik-pakcik yang lain akan memilih mayang kelapa yang bersesuaian untuk ditoreh. Sebelum itu, bekas untuk memungut tuak atau lebih dikenali sebagai tukir akan diikat pada mayang.

Jika tidak silap ambe, cara mengikat tukir ada petua dan sedikit pantang larang. Ada petua khusus untuk mengelakkan tuak cepat basi, ada pula petua yang perlu diikuti agar tuak yang dituai lebih manis rasanya dan juga supaya hasil tuaian lebih tinggi.

Ambe sudah lupa hampir kesemua petua-petua tersebut, juga kerana arwah bapa dan arwah pakcik-pakcik jarang hendak turunkan ilmu mereka kepada ambe. Alasan mereka cukup mudah, ambe tidak sesuai hidup di kampung dan tidak akan selamanya hidup di kampung. Jadi tidak perlu belajar itu semua.

Bila difikirkan balik memang betul, usia remaja ambe dihabiskan di asrama. Bila bekerja pula, masa banyak dihabiskan di bandar.

Berbalik kepada petua untuk memungut tuak tadi, salah satu petuanya adalah cara mengikat tukir pada mayang. Ikatan perlu dibuat satu lilitan demi lilitan secara tertib. Bukan main hentam keromo sahaja, ini kerana salah lilitan, nira boleh melimpah keluar, lebih malang lagi jika basi sebelum tiba masanya.

Laghu atau potongan kayu pokok cengal juga perlu dimasukkan ke dalam tukir. Laghu berfungsi sebagai pengawet semulajadi, dengan adanya laghu, tuak boleh bertahan sehingga separuh hati tanpa perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk (zaman dahulu mana ada orang kampung mampu beli peti sejuk).

Tapi jika tuak tersebut telah ditapis, ia perlu segera disejukkan kerana dikhuatiri bahan awet semulajadi dari laghu turut tertapis sama.

Itulah serba sedikit kenangan dan pengetahuan ambe berkaitan tuak. Walaupun anak-anak ambe termasuk dalam golongan Kelantan celup, ambe cuba terapkan pengetahuan ini ke dalam jiwa mereka. At least mereka sedikit tahu akan asal usul dan sosio-budaya keturunan mereka.

Masa entri ini ditulis, meleleh air liur ambe teringatkan tuak. Inshaa Allah awal bulan depan akan balik kampung lagi, boleh pekena tuak dalam segelas dua.

2 comments: