Monday, 6 April 2015

EXPLORASI BUKIT FRASER : MiSTeRi BaNGLo LaMa Di BuKiT FRaSeR

As-Salam & Salam Sejahtera,

Bukit Fraser merupakan salah satu destinasi percutian tanah tinggi yang agak popular di negara kita. Selain terkenal sebagai destinasi percutian, Bukit Fraser juga semakin mendapat tempat di hati mat-mat motor untuk mengasah kepala lutut mereka, melayan liku-liku yang cukup tajam bermula dari empangan Kuala Kubu Baru sehinggalah ke puncak Bukit Fraser.

Sedikit info berkaitan Bukit Fraser;

Dikatakan Bukit Fraser bersempena dengan nama Louis James Fraser iaitu seorang pedagang bijih timah berbangsa Inggeris. Beliau datang ke Bukit Fraser untuk membeli bijih timah dari pelombong Cina. Namun secara misteri, beliau hilang secara tiba-tiba dan jasadnya tidak pernah ditemui sehingga ke hari ini.

Bukit Fraser juga terselit satu sejarah penting negara kita iaitu pada 6 Oktober 1951, Sir Hendry Gurney yang merupakan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu telah terkorban dalam satu serang hendap oleh pengganas komunis. Beliau dalam perjalanan ke salah sebuah banglo milik kerajaan di Bukit Fraser.

Banglo-banglo di Bukit Fraser bercirikan senibina Inggeris, dibina khusus untuk mengubat rindu pegawai-pegawai Inggeris akan suasana kampung halaman mereka. Dikatakan suhu pada masa tersebut hampir menyamai suhu musim bunga/luruh dinegara mereka.

Sehingga kini, sebahagian banglo-banglo lama tersebut masih berdiri teguh dan ada juga yang luput ditelan zaman. Ada bermacam cerita pelik diperihalkan berkenaan banglo-banglo lama tersebut. Anda pernah dengar?

Jika pernah dengar, adakah anda percaya?

Sebelum berkongsi kisah misteri, ambe nak cerita dulu pengalaman ride ke Bukit Fraser pada minggu lepas. Ride rutin sebenarnya, dan ini bukan kali pertama ambe ride ke puncak Bukit Fraser secara solo. Sekadar untuk melepaskan gian melayan liku-liku tajam sambil bermain dengan throttle dan clutch.

Setiap kali menunggang ke Bukit Fraser, empangan Kuala Kubu Baru menjadi hentian wajib untuk ambe. Lokasi untuk meneguk minuman penghilang haus, melapangkan fikiran dan menikmati keindahan empangan dengan air yang membiru.

Persinggahan di sini tidak lama, sekadar beberapa minit dan biasanya ambe akan meneruskan perjalanan ke The Gap, iaitu pintu masuk ke Bukit Fraser. Jika berminat, sebelum sampai ke The Gap, anda boleh singgah di Sungai Chiling untuk mandi manda dan mengunjungi santuari ikan air tawar. Biasanya ambe jarang singgah, cuma lalu dan terus layan korner sehingga ke The Gap.


Beberapa tahun yang lepas, The Gap merupakan tapak untuk pengunjung ke Bukit Fraser menunggu giliran untuk naik. Ini kerana pada masa tersebut, hanya satu laluan dibuka bergilir-gilir untuk turun dan naik. Jadi The Gap akan meriah dengan deretan kereta dan motosikal.

Tapi kini, tiada lagi deretan kereta yang menunggu giliran kerana laluan berasingan telah dibuka. Satu laluan untuk naik sahaja manakala satu laluan lagi hanya untuk turun dari Bukit Fraser. Jadi para pengunjung tidak perlu lagi berhenti menunggu di The Gap, mereka boleh meneruskan pemanduan terus ke pekan Bukit Fraser.


Kemudahan di The Gap agak lengkap sebagai tempat persinggahan. Ada surau untuk bersolat, tandas untuk yang berhajat dan gerai minuman. Bolehlah lepak-lepak pekena teh tarik sebelum meneruskan perjalanan ke pekan Bukit Fraser.

Walaupun sememangnya tidak perlu lagi menunggu giliran di The Gap, menjadi kebiasaan juga bagi ambe untuk berehat seketika di The Gap. Orang kata sejukkan enjin moto sekejap setelah teruk dilanyak semasa mendaki tadi. Rider pun kena buang minyak kotor juga, dan isi minyak buat penghilang haus.

Laluan dari The Gap ke pekan Bukit Fraser agak sempit, jadi kena sedikit berhati-hati. Tak perlu pulas throttle terlalu keras, sesedap rasa sambil mata dijamu dengan keindahan alam semulajadi. Pekan Bukit Fraser hanya sejauh 3 km dari The Gap, jadi kurang 10 minit anda akan tiba di pekan.


Puncak Inn, salah satu hotel di Bukit Fraser.

Sewaktu tiba di pekan Bukit Fraser, moto ambe ditahan oleh sekumpulan pelajar universiti yang sedang membuat aktiviti. Ambe diminta untuk membeli sticker berwarna-warni yang dilekat pada dahi mereka dengan harga yang sekadar termampu dan ikhlas. Ambe seluk kocek dan ada 70 sen, kecil nilainya tapi yang penting ikhlas kan?

Tetiba terimbau kenangan sewaktu di universiti dulu!!!

Kelebihan jika menggunakan motosikal adalah, kita mudah untuk meneroka ceruk-ceruk yang sukar dimasuki oleh kenderaan biasa. Itu yang ambe buat, jika jumpa mana-mana jalan kecil, ambe cuba masuk dan teroka. Menariknya kebanyakkan jalan-jalan kecil ini sama ada berakhir dengan banglo-banglo lama, ataupun akan ditemui kuil-kuil Hindu.


Ambe tidak pasti banglo lama ini milik siapa, mungkin rumah peranginan kerajaan dan mungkin juga milik korporat. Suasana agak sunyi tanpa kelibat hatta seorang manusia.


Ini pula rumah transit milik JKR Selangor. Agaknya untuk staf JKR yang bertugas di Bukit Fraser, mereka akan ditempatkan di sini untuk bermalam. Ambe temui beberapa buah lagi banglo yang agak moden sebegini, milik pelbagai agensi kerajaan. 

Tapi ambe sebenarnya lebih berminat dengan banglo lama bercirikan kolonial. Jadi ambe terus menunggang menyusuri beberapa lorong kecil dalam usaha mencari banglo-banglo lama tersebut. Sehinggalah ambe temui sebuah banglo lama, cantik senibinanya bercirikan Inggeris tapi sayang, seperti terbiar dan tidak dipulihara. 

Cat putih pada banglo tersebut masih utuh, cuma persekitarannya agak terbiar. Tanpa membuang masa, ambe terus parking moto ambe dihadapan banglo tersebut untuk ambil gambar. Sekonyong-konyong, kamera ambe gagal untuk berfungsi. Lensa gagal untuk menangkap sebarang imej. 

Kecewa rasa hati, banglo cantik di depan mata tapi gagal untuk dipotretkan pada lensa kamera. Setelah usaha untuk mengembalikan fungsi kamera tidak berhasil, ambe meninggalkan perkarangan banglo tersebut untuk menuju ke lokasi berhampiran.


Ambe tiba ke Allan's Water. Ajaibnya kamera ambe kembali normal. Jadi ambe terus memasang niat untuk kembali ke banglo tadi. Tapi kita jalan-jalan dulu di Allan's Water. Jika dilihat kepada sejarah, Allan's Water merupakan sebuah empangan kecil untuk menyimpan bekalan air kepada peneroka terawal Bukit Fraser pada zaman kolonial.


Allan's Water diambil sempena nama seorang penolong jurutera berbangsa Inggeris, JH Allan. Pada tahun 1921, beliau tiba di Bukit Fraser dan mencadangkan sebuah empangan dibina untuk membekalkan tenaga elektrik dan juga sebagai pusat rekreasi. Namun rancangan itu gagal dilunaskan, tapi sebuah tasik untuk menyimpan bekalan air tetap dibina. Akhirnya ia dinamakan sebagai Allan's Water. Kini ia tidak lagi berfungsi sebagai takungan air tapi diubah kepada tasik rekreasi oleh Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser.


Gerbang masuk ke Allan's Water. Apa aktiviti yang boleh kita buat di Allan's Water?


Anda pernah cuba 2 seater paddle boat? Bot yang tak guna pendayung tapi main kayuh sahaja. Sewaannya RM8 untuk selama 15 minit. Tasik ini tidak luas, jadi 15 minit itu pun sudah agak lama sebenarnya.


Nampak tak di hujung sana, beberapa buah paddle boat sedang beraksi. Kemudian nampak tak belon-belon gergasi warna kuning terapung di atas tasik?


Belon-belon tersebut dipanggil water ball, boleh disewa dengan harga RM15. Anda masuk ke dalam water ball dan boleh bergolek-golek di atas permukaan tasik. Ada berani mahu menchoba?


Tak berminat dengan paddle boat dan juga water ball, anda boleh memancing. Besar-besar ikan di Allan's Water. Campak sahaja makanan berpusu-pusu ikan datang, agak jinak. Boleh dibelai dan boleh dipegang, terhabituasi tidak lagi takutkan manusia.


RM10 kepada kaki pancing, rasanya ini sudah cukup murah. Ikan pun besar-besar. Tapi tak nampak pula ada yang memancing.


Seperti mana tempat lain di Bukit Fraser, kata-kata 'Dilarang Memetik Bunga' turut akan anda temui di Allan's Water. 


Allan's Water dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Lunch hour ditutup seketika. Details sila rujuk gambar di atas.


Bersebelahan sahaja dengan Allan's Water adalah Fraser's Edible Garden. Kebun sayur-sayuran dan bila tengok billboard siap ada strawberry seperti di Cameroon Highlands.


Di Fraser's Edible Garden, ambe tidak masuk ke dalam. Sekadar meninjau dari luar sahaja. Ini kerana kepala ambe masih memikirkan pasal banglo lama tadi. Hati ambe gatal untuk kembali ke sana dan cuba ambil gambar. 

Jadi sekali lagi ambe memasuki perkarangan banglo lama tersebut. Parking moto elok-elok depan banglo, niat ambe cuma satu. Ingin memotretkan moto kesayangan ambe berlatar-belakangkan sebuah banglo lama bercirikan kolonial. Gabungan teknologi terkini dan warisan sejarah.

Sebaik sahaja view tersebut ingin ambe abadikan, sekali lagi secara tiba-tiba kamera ambe gagal untuk berfungsi. Jenuh ambe godek-godek, ON dan OFF untuk beberapa kali tapi hasilnya cukup mengecewakan. Terdetik dihati ambe, mungkin ada entiti yang tidak suka akan kehadiran ambe? Namun ambe sebenarnya tidak berapa nak percaya sangat dengan kisah-kisah penunggu bagai. Ok, ambe akui jin syaitan itu wujud tapi hal penunggu kepercayaan tahyul ini ambe kurang nak ambil port sikit.

Hampir 10 minit ambe menunggu, pun kamera ambe masih tidak boleh digunakan. Sekali lagi ambe kecewa, dan beredar dari perkarangan banglo tersebut. Sebaik sahaja jauh sedikit dari kawasan banglo, ambe cuba check kamera. Eh elok pula berfungsi. Jadi buat kali ketiga ambe kembali ke banglo lama tersebut. Orang kata kita cuba sampai tiga kali, kalau tak jadi juga maknanya bukan rezeki dah tu.

Sekali lagi ambe parking moto elok-elok, moto jadi model sebab rider sudah jadi cameraman. Pada percubaan kali ketiga ini, sebaik sahaja ambe halakan kamera ke arah banglo tersebut, tetiba sahaja ZingggGGGGGGG bunyi berdesing di telinga ambe. Serta merta kepala ambe berpusing dan bunyi berdengung terus kedengaran. Bunyi dengung tersebut datang dengan suara yang hingar bingar seperti ada ramai orang yang sedang bercakap-cakap. Tidak tentu butirnya, dan tidak ambe fahami bahasanya. 

Terdetik di hati ambe "Habislah aku kali ni, kena kidnap dengan ALIENS".

Tengok tu, punyalah tidak percaya akan penunggu, ALIENS juga yang kena petik hehehehe.

Dalam tidak keruan, ambo hidupkan moto dan cuba beredar. Nasib baik tiada masalah untuk hidupkan enjin moto. Jika tidak jenuh juga untuk ambo tolak moto ke jalan besar. Tambah pula untuk ke jalan besar dari perkarangan banglo, kena mendaki satu bukit kecil. Silap-silap tergolek ambo dibuatnya. 

Bunyi hingar bingar tersebut hilang secara tiba-tiba sebaik ambe tiba di jalan besar. Masih rasa pening-pening lalat sedikit, jadi ambe beredar ke pekan Bukit Fraser untuk berehat seketika dan memikirkan akan kejadian tadi.


Pekena Red Bull dalam sebotol sambil cuci mata melihat pelancong Arab yang lalu lalang. Melihat akan pelancong wanita warga Arab yang terbonjol di sana sini membuatkan ambe lupa akan apa yang berlaku di banglo lama tadi hahahahaha!!!!


Tempat ambe melepak itu, belakangnya adalah bangunan yang ada kedai makan. Tapi ambe belum berselera untuk makan, harganya pun kira ok jugalah.


Inshaa Allah suatu hari nanti ambe akan upgrade, jika tidak mampu GS1200, Versys 650 pun Alhamdulillah. Seketika kemudian berkumandang suara azan, menandakan masuknya waktu bagi solat Zuhur.


Masjid Sultan Mahmud, Bukit Fraser. Kewajipan kepada Yang Maha Kuasa dilupa jangan, hatta sesibuk mana pun urusan seharian. **Peringatan untuk diri sendiri yang sering alpa dengan nikmat duniawi.


Seterusnya ambe singgah pula di Taman Awam. Tidak banyak bunga-bunga yang ditanam, lokasi lebih kepada tempat istirehat setelah penat menerokai keindahan Bukit Fraser. Bersebelahannya juga ada food court, tapi ambe segan nak menyinggah sebab ada banyak big bikes. Rasa segan nak parking sama, maklumlah ambe cuma rider moto ber 'cc' kecil.


Cuba anda teka, banglo misteri mana yang ambe kunjungi tadi hahahahaha!!!!


Smokehouse Bukit Fraser. Rekabentuknya hampir sama dengan yang ada di Cameroon Highland.


Anda pernah menginap di sini? Jika pernah, mohon tinggalkan komen. Contact number Fraser's Silverpark Resort; 09-362 2888.


Mengabadikan kenangan di depan bangunan Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser. Hari minggu jadi pejabat ditutup.


Banglo Tioman. Cantik dan tiada pengalaman misteri di sini. 


Puncak Inn dari jauh. Sebuah hotel budget yang betul-betul menghadap clock tower. Alamat lengkap; Jalan Genting, 49000 Bukit Fraser, Pahang. Contact number; 09-362 2007.



Tidak disangka, rupanya Bukit Fraser merupakan kawasan penting burung. Erti kata lain, kawasan ini kaya dengan kepelbagaian species burung. Cukup sesuai untuk aktiviti bird watching.


No wonder pihak UKM turut membuka stesen penyelidikkan di Bukit Fraser. Teringat seorang bekas profesor ambe di UKM  yang merupakan salah seorang pakar burung dan kelawar.


Jika anda minat menebas, jangan lupa kunjungi Fraser Hill Golf Club. 


Amaran tegas oleh pihak FHGC, hanya tukang tebas sahaja dibenarkan beraksi.


Tidak minat menebas, kita boleh tunggang kuda di The Paddock. Tapi mana kudanya? Kuda besi milik ambe adalah.


Meninjau kuda dari luar The Paddock, tapi bulu kuda langsung tidak kelihatan. Kenapa ambe tidak masuk sahaja ke dalam? Masih teringat akan banglo tadi kah?


Memanah pun ada di The Paddock. Tapi kenapa pintu pagar masih berkunci? Bila ambe lihat jam di tangan, sepatutnya The Paddock telah bersedia untuk menerima kunjungan tetamu.


Balai Polis Bukit Fraser yang berusia hampir 100 tahun. Bangunan ini dibina pada tahun 1919!!!


Pejabat pos, jika tidak silap dibina sezaman dengan balai polis Bukit Fraser.


Bintang utama Bukit Fraser, tidak lengkap kunjungan ke Bukit Fraser jika tidak beraksi di depan clock tower. Ambe nak ambil gambar dengan moto tapi segan nak minta tolong dengan orang hahahaha!!!!


Lepak sekejap. Nampak kotak rokok dan puting rokok? Sampah sarap cukup sinonim dengan budaya pengunjung tempatan. Cukup memalukan!!!

Masa untuk balik, hampir ke semua tempat telah ambe terokai. On the bike!!!


Kembali ke pangkal jalan. Hampir seharian ambe menghabiskan masa di Bukit Fraser.


Jika terjumpa scene menarik, moto kesayangan ambe tanpa gagal tetap beraksi di depan kamera. 


Masa nak turun dari Bukit Fraser, kena lalu Pine Resort. Contact number; 09-362 2122.


Tiba masanya untuk meninggalkan Bukit Fraser.


Pantang jumpa signboard, mesti berhenti ambil gambar.


Peta Bukit Fraser untuk panduan.

Selepas ini ambe terus menunggang turun ke The Gap. Serius, scenery masa turun lagi cantik dari masa naik. Pandang cerun ke bawah, cukup sayup-sayup mata memandang. Ada ketika boleh memecut dan asah lutut. Ada ketikanya kena slow and steady sebab laluan cukup berliku.


Selamat tiba di The Gap. Lokasi ini memang wajib singgah untuk bergambar. 


Bab selfie ambe memang FAILED hahahahaha!!!!

Sejurus gambar ini diambil, tiada lagi singgah di mana-mana. Menunggang terus untuk balik ke rumah. Perjalanan cukup lancar tanpa sebarang musibah, Alhamdulillah.

Serik dengan pengalaman di banglo lama tadi?

Tidak sama sekali hehehehe. Kita datang dengan niat baik, Inshaa Allah. Tiada yang lebih berkuasa melainkan Yang Maha Esa.

Wassalam.

9 comments:

  1. Assalam,
    motor itu ada dimana2 yer
    he3
    santek3

    ReplyDelete
    Replies
    1. As-Salam, kemana tuannya pegi moto itu sentiasa setia menemani hehehehe

      Delete
  2. tak pernah lagi sampai ke bukit fraser. misteri betul banglo tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukit Fraser tak banyak tarikan tapi bagus untuk berehat.

      Delete
  3. Salam...boleh tau tk nama banglo misteri tu

    ReplyDelete
  4. Salam....Kisah pengalaman yg menarik. TQVM kerana berkongsi.Saya Insyallah akan kesana (FH) pertengahan May ini.Ada event Bird Race. So sedikit sebanyak artikel tuan membantu.Keep up the good work.

    ReplyDelete
  5. Salam....Kisah pengalaman yg menarik. TQVM kerana berkongsi.Saya Insyallah akan kesana (FH) pertengahan May ini.Ada event Bird Race. So sedikit sebanyak artikel tuan membantu.Keep up the good work.

    ReplyDelete