Al-Fatihah untuk arwah adik Nurul Nasha Alia Khalid yang ditemui mati lemas dalam kolam renang sebuah pangsapuri di Bukit Merah Laketown Resort. Arwah sekeluarga dikatakan baru pulang bercuti dari Cameroon Highland dan singgah di Bukit Merah Laketown Resort untuk bermalam dan juga menyambut hari ulang tahun kelahiran beliau.
Al-Fatihah untuk adik Nurul Nasha Alia Khalid yang maut pada hari ulang tahun kelahiran beliau. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan mereka yang bertakwa. Foto ehsan Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian Supt. Mat Fauzi Nayan, kejadian sekitar jam 12.50 tengah hari itu berlaku sejurus selepas keluarga mangsa mendaftar masuk ke pangsapuri berkenaan. Arwah adik Nurul Nasha dikatakan turun ke kolam renang pangsapuri tersebut bersama abangnya Mohd Firdaus Khalid, 10 tahun tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain.
Menurut saksi, arwah dikatakan mandi di kawasan kolam renang dewasa dan abangnya naik semula ke pangsapuri penginapan mereka untuk memaklumkan perbuatan mangsa. Sejurus ahli keluarga yang lain tiba, didapati mangsa terkapai-kapai kelemasan sebelum abangnya terjun untuk cuba menyelamatkan mangsa.
Malangnya usaha abang mangsa dan paramedik yang tiba sejurus kemudian untuk memulihkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan tidak berhasil. Arwah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian tepat jam 1.15 tengah hari.
Jenazah arwah seterusnya dibawa ke Hospital Parit Buntar dan disemadikan di tanah perkuburan berhampiran rumah arwah di Bandar Perda, Seberang Perai Tengah.
Al-Fatihah
Nota kaki:
Ironinya saya sekeluarga baru pulang bercuti dari Suria Apartment Bukit Merah Laketown Resort selang dua hari yang lalu. Berdasarkan berita saya tidak pasti arwah menginap di pangsapuri yang mana tapi saya berpendapat mungkin Suria Apartment.
Ini adalah qada dan qadar, ketentuan Ilahi tapi bagi kita yang masih hidup ini seharusnya mengambil iktibar dan pengajaran dari peristiwa menyayat hati ini. Sebagai panduan, lebih2 lagi bagi saya yang mempunyai anak sebaya arwah.
Ada beberapa persoalan yang bermain difikiran saya (ingin saya tekankan di sini, ini hanya pendapat peribadi saya dan bukannya untuk menyalahkan mana2 pihak).
Pertamanya bagaimana ibu bapa/penjaga beliau boleh leka sehingga kanak2 sekecil itu boleh sekelip mata menghilangkan diri dari pandangan ahli keluarga. Memiliki anak2 yang hiperaktif sememangnya saya faham kesukaran untuk setiap saat mengawasi mereka, tapi persoalannya di sini arwah menyelinap dari pandangan keluarga tanpa disedari oleh sesiapa?
Keduanya pihak pengurusan mengatakan kolam renang tersebut ditutup untuk kegunaan pelanggan sewaktu kejadian berlaku. Persoalan di sini adalah unsur keselamatan oleh pihak pengurusan yang sedikit meragukan. Jika ditutup ada apa2 usaha untuk menghalang pelanggan terutamanya kanak2 kecik (mereka memang selalu teruja dengan kemudahan kolam renang) untuk menghampiri kawasan kolam renang?
Pengalaman saya sendiri sewaktu menginap di Suria Apartment, tidak kelihatan lifeguard bertugas sewaktu kolam renang tersebut dipenuhi pelanggan. Adakah mereka berpendapat disebabkan ramai pengguna beserta ibu bapa, lifeguard tidak diperlukan? Pemerhatian saya ini berdasarkan kerusi lifeguard (kerusi tinggi tu.... macam kerusi pengadil bola tampar) yang kosong dari seawal saya menggunakan kolam renang tersebut sehinggalah selesai. Juga tidak kelihatan lifeguard di persekitaran kolam renang, biasanya mereka ini memakai pakaian kuning merah sebagai tanda pengenalan... kebiasaannyalah.
Al-Fatihah sekali lagi untuk arwah adik Nurul Nasha Alia Khalid.
No comments:
Post a Comment